Handset masih menjadi barang mewah. Kalau ada yang memiliki pun, pastinya yang bersaiz gedabak buat pembaling si anjing liar.
Namun, sesuatu yang masih sama, usia remaja adalah zaman di mana eksperimen cinta mula berlaku, dan di rumah sewa juga tidak terkecuali.
Bila tiba musim 'bulan mengambang' dan 'mengawan', maka berbondong-bondonglah mereka menyimpul rasa dan resah. Maka, telefon rumah itu jugalah yang menjadi tempat melepas sendu segala.
Ada sekali, seorang kawan, mula menggunakan telefon sedari pukul 9 malam untuk bergayut.
Kemudian, 10 malam - sudah sejam, nampaknya. Sahabat yang lain mula resah, kerana dia juga dilanda wabak yang sama.
12 pagi - belum sudah-sudah. Makin membara kemarahan sahabat yang bergundah.
1 pagi - kemarahan makin memuncak ... melebihi segalanya ... dan ....
"Kau nak berhenti ke tak nak? Kalau kau tak nak, aku bagi lipas ni!"
Dan, nampaknya ugutan itu sangat berkesan. Kalaulah sedari tadi dia terfikir untuk menggunakan lipas itu!
Dan akhirnya, telefon itu masih menyambung tugas, tapi menadah gagang untuk nafas pencinta yang lain. Kasihan telefon itu!